• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih

KUALA TERENGGANU, 20 November- Tandas Awam Rantau Abang, Dungun dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 bagi Kategori Kawasan Pelancongan bersempena dengan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020.

Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Dungun (MPD), ianya bukan kejayaan kali pertama kerana pelbagai anugerah telah berjaya dibawa pulang oleh MPD sebelum ini. 

"Antaranya pernah dinobatkan sebagai Tandas Terbaik sempena ASEAN Public Toilet Standard 2019 — 2021 dan naib juara Kategori Pelancongan Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak ," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi MPD.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Tandas Awam Rantau Abang yang terletak sebelah kawasan pelancongan Pusat Informasi Penyu Rantau Abang juga diiktiraf sebagai Tandas Pelancongan dan merangkul Anugerah Perak bagi Kategori Tandas Awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (Bandaraya/Perbandaran) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan.