KUALA LUMPUR, 12 November – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim menggesa kerajaan untuk merangka dasar yang lebih agresif dan bersifat tindakan dalam menangani isu jurang pendapatan serta ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi antara wilayah di Malaysia.
Dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, beliau merujuk kepada dapatan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan jurang pendapatan antara kaum masih belum seimbang sepenuhnya.
Menurut beliau, angka tersebut jelas membuktikan bahawa usaha sedia ada masih belum memadai untuk memastikan peningkatan taraf hidup yang adil dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
Selain itu, beliau turut membangkitkan unjuran Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menunjukkan kadar pertumbuhan ekonomi yang sangat berbeza antara wilayah. Berdasarkan unjuran tersebut, beberapa wilayah dijangka mencatat pertumbuhan pesat manakala wilayah lain berisiko terus ketinggalan dari segi pembangunan.
“Sekiranya keadaan ini tidak ditangani dengan pendekatan yang lebih progresif, jurang pembangunan ini akan menjadi semakin besar dalam tempoh lima tahun akan datang,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan langkah strategik termasuk pemindahan sektor-sektor tertentu yang terlalu tertumpu di Lembah Klang ke negeri-negeri lain yang mempunyai kelebihan daya saing dan potensi pertumbuhan yang tinggi.
Tambahnya lagi, pengagihan semula aktiviti ekonomi dan sektor strategik ke wilayah lain dapat merangsang peluang pekerjaan, menarik pelaburan baharu serta memastikan pembangunan negara berlaku secara lebih seimbang di seluruh Malaysia.
Cadangan tersebut mendapat respons langsung daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang mengakui bahawa kesenjangan pendapatan “masih belum dapat diluruskan” seperti dalam dapatan terkini di mana kepentingan keseimbangan pembangunan wilayah diakui sebagai sebahagian daripada agenda negara dalam memastikan pertumbuhan yang lebih adil.