• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tangguh Dulu Buka Pulau Perhentian

SETIU, 26 Ogos - Kerajaan negeri akan meneliti semula keputusan untuk membuka operasi Pulau Perhentian, Besut ekoran penularan jangkitan Covid-19 di pulau peranginan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri turut menimbang pendirian dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu dan Kesihatan Negeri yang akan diputuskan dalam masa terdekat.

Walau bagaimanapun, katanya, operasi pulau-pulau peranginan lain bakal berjalan pada bulan hadapan seperti yang dirancang bagi membantu industri pelancongan domestik dan perhotelan agar kembali bernafas.

"Kita mengambil langkah ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk keselamatan semua pihak.

"Di mana buat masa ini sekatan dikenakan bagi mengawal pergerakan penduduk dalam usaha mengekang penularan virus terbabit di Pulau Perhentian," katanya ketika ditemui pemberita sewaktu tinjauan ke tapak penaiktarafan jalur lebar 4G di Kampung Payong, Setiu, hari ini.

Menurut Ariffin, pada asasnya Terengganu bersedia membuka operasi pulau-pulau peranginan lain dalam beberapa hari lagi.

Namun sentiasa diingatkan agar pemain industri dan pelancong mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Semua pihak perlu bekerjasama agar situasi di Pulau Perhentian tidak lagi berulang. Ia sudah tentu akan merugikan banyak pihak jika berlaku. Masing-masing perlu ingat 'kita jaga kita'," tegasnya.

Sehingga semalam, seramai 1,125 penduduk Pulau Perhentian, Besut menjalani ujian calitan Covid-19 selepas 75 penduduk disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, proses ujian saringan itu yang melibatkan hampir 70 peratus penduduk dilaksanakan sejak Jumaat lalu dan selesai sepenuhnya petang semalam.


Tag: