• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Tangguh Sementara Aktiviti Waktu Malam- Ghazali



Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 23 September-Penduduk di Taman Harmoni khususnya disaran menangguhkan semua aktiviti waktu malam termasuk kelas mengaji bagi mengelak ancaman Harimau Kumbang yang didakwa berlegar di taman perumahan itu sejak dua minggu lalu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ia susulan daripada beberapa kes kehilangan binatang peliharaan penduduk yang dikhuatiri menjadi mangsa mamalia itu.

“Kami ada menerima aduan penduduk mengenai kehilangan kucing, arnab dan sebagainya.

“Justeru, kita minta penduduk menghentikan sementara aktiviti pada waktu malam sehingga keadaan kembali seperti biasa,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau lokasi pemasangan perangkap harimau berkenaan di taman itu, semalam.

Ghazali berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan ketika ini pemantauan tetap dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu disamping pemasangan perangkap.

“Mengikut cerita penduduk ,Harimau Kumbang itu ada berkeliaran di tepi perangkap yang dipasang tetapi belum mengenai sasaran.

"Kita pandang serius perkara ini dan sama-samalah berdoa supaya haiwan berkenaan segera tertangkap dan dipindah ke kawasan lain," ujarnya.

Tag: