• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Kerajaan Tanggung RM200,000 Kecualikan Bayaran Lesen

KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan menanggung kos sebanyak RM200,000 selepas bersetuju mengecualikan bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja selama setahun bermula Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pengecualian itu telah diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa membentangkan Belanjawan 2021 minggu lalu.

“Insentif ini akan memberi manfaat kepada peniaga kecil yang memiliki lesen perniagaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini.

“Kita memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19, justeru dengan tiadanya kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021, diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja sekali gus merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di TV Darul Iman, hari ini.

Dr Alias.

Mengulas mengenai rungutan peniaga yang meminta kerajaan mengecualikan bayaran sewa premis perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, beliau berkata perkara berkenaan akan dikaji lebih terperinci.

“Apabila kita buat sesuatu pengecualian itu, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat kerana membabitkan kos yang akan ditanggung oleh kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan,” ujarnya.

Sebelum ini katanya, kerajaan negeri telah kehilangan hasil kira-kira RM5 juta ketika mengecualian bayaran sewa premis perniagaan dan moratorium dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).