• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tanggungjawab Dalam Perkahwinan

KEMAMAN, 14 April - "Apabila menyebut tentang perkahwinan, janganlah kita lupa pada satu perkara yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam alam perkahwinan, iaitu tanggungjawab.

"Tanggungjawab pada erti kata sebenarnya bermaksud amanah atau bebanan yang harus dipikul seseorang sehingga ianya mesti menanggung sebarang permasalahan yang dihadapi orang yang ditanggungnya.

"Lebih spesifik lagi, ia menangggung kesalahan dan dosa orang di bawah jagaannya dan perlu menjawab di akhirat kelak apabila ditanya oleh Allah S.W.T terhadap tanggungannya," itu antara yang dikatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Beliau turut berkata, tanggungjawab tersebut bukanlah hanya kepada pasangan sahaja, tetapi juga merupakan tanggungjawab kepada ibu bapa, ibu bapa pasangan serta seluruh kaum keluarga.

Justeri intipati kata-kata pesanan yang termaktub di dalam khutbah nikah yang telah dibacakan oleh Qadi kepada para pengantin merupakan suatu garis panduan yang perlu dihayati dan diikuti oleh setiap pasangan yang telah bergelar sebagai pasangan suami isteri.

"Tanggungjawab itu juga perlu kita zahirkan kepada pihak kerajaan negeri yang sangat prihatin dan cakna kepada permasalahan serta denyut nadi rakyat.

"Ini termasuk melaksanakan program-program kekeluargaan demi memperkukuhkan modal insan di kalangan rakyat negeri Terengganu," katanya di hadapan lebih 70 orang peserta ketika merasmikan program Forum Bicara Keluarga Jannah yang berlangsung di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kelmarin.

Forum Bicara Keluarga Jannah itu merupakan kesinambungan dari Program Walimatulurus Perdana yang dilaksanakan sebelum ini.

Ia merupakan salah satu sasaran kerajaan yang prihatin dan cakna kepada rakyat dalam memastikan rakyat di negeri Terengganu ini mendapat pendedahan dan ilmu yang bermanfaat dalam menjalani hidup berkeluarga yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Program berkenaan merupakan anjuran oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).


Tag: