KEMAMAN, 23 Februari – Pertandingan memancing cara tradisional yang diadakan di Parit Line Gas, Meraga Beris, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Meraga Beris, Kamarudin Muda berkata, acara yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari itu berlangsung dengan meriah dengan rata-rata peserta tiba awal di tempat acara.
“Pertandingan ini dianjurkan khas untuk warga Meraga Beris dengan matlamat memupuk semangat bersaing secara sihat dalam suasana santai.
“Selain menikmati pengalaman memancing, peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan penganjur seperti Televisyen (TV), Kipas dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Penutup Ngail 2025 di Meraga Beris semalam.
Perasmian Penutup tersebut disempurnakan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris.
Tambah Kamarudin, program tersebut telah lama diadakan dan telah menjadi acara tahunan penduduk Kampung Meraga Beris.
“Pertandingan ngail ini sentiasa mendapat sambutan setiap kali diadakan sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat kampung.
“Terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama ADUN Kijal yang sentiasa menyokong acara sebegini diadakan,” ujarnya.
Sementara itu, ketika tinjuan daripada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), rata-rata peserta melahirkan rasa puas hati dengan pertandingan tersebut dan menganggap bahawa acar itu bukan sekadar tentang menang atau kalah, tetapi juga satu platform untuk berkongsi pengalaman dan nostalgia bersama rakan-rakan dan keluarga.
Selain itu, kebanyakan peserta hadir bersama ahli keluarga dan mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama melalui aktiviti berkenaan.