• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tangki Statik Elak Masalah Air Taman Bukit Bayas Indah

KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Beberapa tangki statik akan ditempatkan di Taman Bukit Bayas Indah sebagai langkah awal untuk menyelesaikan isu masalah krisis air di taman tersebut.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Timur, Azamy Abdul Aziz Abdul Aziz berkata tangki tersebut akan diletakkan secepat mungkin oleh Syarikat Air Terengganu (SATU). 

“Kita akan cuba berhubung dengan pihak penduduk untuk memastikan lokasi yang sesuai bagi meletakkan tangki tersebut.

“Manakala, satu kajian akan dijalankan beserta pembinaan Loji Air Kuala Terengganu Utara (KTU) ialah penyelesaian jangka masa panjang kepada masalah ini,” kata Azamy ketika ditemui pemberita hari ini.

Perjumpaan SATU dan SPAN bersama penduduk Taman Bukit Bayas Indah

Menurut beliau, bantuan bekalan air tangki statik tersebut akan dihantar secara berterusan sehingga krisis air ini selesai.

Tambahnya, punca berlakunya krisis air ini kerana pembangunan yang pesat di kawasan sekitar telah menyebabkan tekanan air menjadi rendah di kawasan taman tersebut. 

Sementara itu, Pengerusi Taman Bukit Bayas Indah, Che Zulkarnain Abdul Wahab mengucapkan terima kasih kepada pihak SPAN dan SATU atas keprihatinan dalam isu ini.

“Setelah mendengar penerangan dan penyelesaian yang diberikan pihak SATU dan SPAN, saya berasa sedikit lega kerana ia dapat membantu kami untuk menjalani aktiviti harian,” ujar beliau.

Satu pertemuan antara wakil penduduk Taman Bukit Bayas Indah bersama pihak SPAN dan SATU telah diadakan pada 21 Februari lalu di sebuah kedai makan sekitar taman tersebut.