• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Tarik Pukat Aktiviti Tradisi Memukau Pelancong

Aktiviti tarik pukat di Pantai Ru Muda.
MARANG, 30 April - Aktiviti tarik pukat yang menjadi tradisi masyarakat nelayan berjaya menarik minat serta memukau pelancong apabila berkunjung ke Terengganu.

Bagi penggemar acara itu, Arif Ariffin, 31, berkata, acara tarik pukat yang 
kebanyakannya dipelopori oleh golongan berusia itu sudah mencecah hampir puluhan tahun.

Katanya, aktiviti yang biasa dilakukan pada hujung minggu itu berjaya menambat hati pelancong sama ada dari dalam atau luar negara apabila berkunjung ke negeri ini.

“Peringkat dulu-dulu, ramai orang tua-tua yang mempelopori aktiviti ini dan orang muda sekarang baru berjinak-jinak.

“Setakat pengalaman saya, pelancong bukan sekadar berminat, tetapi mereka teruja dengan aktiviti tarik pukat ini, sebab mungkin mereka tak pernah tengok dan cuba aktiviti ini.

Arif Ariffin.
“Rata-rata pengunjung meluahkan rasa teruja dan ingin mencuba apabila mereka datang melawat Terengganu,” katanya.

Menurut Arif lagi, hasil tangkapan akan diagih sesama mereka yang terlibat dalam aktiviti itu serta masyarakat kampung.

Jelasnya, acara tarik pukat itu akan lebih meriah apabila tiba musim cuti persekolahan dan sangat sesuai sekiranya kerajaan negeri menjadikan aktiviti itu sebagai produk pelancongan Terengganu.

“Hasil tangkapan itu terpulang, kadang-kadang banyak, kadang-kadang sikit, faktor bulan, ombak, angin, mata pukat dan kedalaman air memainkan peranan penting.

“Bila aktiviti ini 'hidup', mudah-mudahan adalah usaha dan sokongan daripada kerajaan untuk mengetengahkan tarik pukat sebagai produk pelancongan.  

“Secara tidak langsung menjadikan Terengganu dan Marang khususnya sebagai tempat pelancongan yang menarik,” tambahnya lagi.

Hasil tangkapan.



Tag: