• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tasik Kenyir Surut, Fenomena Biasa Hadapi Musim Tengkujuh

HULU TERENGGANU, 30 November- Fenomena air surut di Tasik Kenyir  merupakan perkara biasa apabila tiba musim tengkujuh  kerana proses pembuangan air bagi tadahan baharu telah dilakukan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, ketika memasuki musim tengkujuh, air dilepaskan bagi menadah air hujan baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Lebih separuh daripada jumlah air di tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia itu sudah dilepaskan di Sungai Terengganu ketika ini.

“Tahun lalu, air lambat surut walaupun sudah dilepaskan, tetapi keadaannya berbeza kali ini kerana lebih cepat, tetapi itu semua proses biasa,”ujarnya kepada pemberita.

Justeru itu, orang ramai tidak digalakkan berkunjung ke Tasik Kenyir buat masa ini sehingga proses tadahan selesai dijangka ketika gelombang pertama banjir pada pertengahan bulan Disember

Menurut Razali, antara destinasi menarik di Tasik Kenyir yang ditutup kini susulan musim tengkujuh ialah Santuari Kelah dan Gua Bewah.

Terdahulu. Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti pada satu kenyataan berkata, ketiga-tiga empangan TNB di Tasik Kenyir, Cameron Highlands dan Sungai Perak kini bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat.

"Proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik TNB dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan," katanya.

Menurut Nor Azman, empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik, malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

"Kapasiti empangan TNB menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh," katanya.

Beliau berkata, air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke sungai seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan TNB.