• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Tasik 'Pepsi Blue' Dibangun Sebagai Kawasan Pelancongan

MARANG, 19 Oktober - Terengganu mahu menjadikan kawasan bekas pelombongan emas, Tasik Lubuk Mandi atau lebih dikenali sebagai Tasik 'Pepsi Blue' di Rusila sebagai lokasi pelancongan baharu di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu akan diperincikan menerusi perbincangan dengan pegawai daerah di samping wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat dalam masa terdekat.

"Walaupun kawasan bekas lombong emas ini telah ditutup bertahun-tahun tetapi kita tahu ada yang menceroboh masuk semata-mata untuk melihat keindahan panoramanya dan bergambar hingga lokasi ini viral di media sosial.

"Jadi kita fikir kalau diolah dengan baik mungkin Tasik Lubuk Mandi boleh menjadi destinasi pelancongan seolah-olah di Kawah Putih, Bandung, Indonesia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.

Menurut Ariffin, sekiranya dibuka kelak, tentunya aspek keselamatan menjadi keutamaan.

Ujarnya, sistem keselamatan seperti mengenakan syarat tertentu untuk pengunjung termasuk larangan mandi serta mengadakan aktiviti atas air berkemungkinan akan diaplikasikan.

"Antara kemudahan yang dikenal pasti perlu diwujudkan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin ialah laluan pejalan kaki di samping pembinaan pagar di sekeliling tasik bagi mengelak insiden jatuh.

"Tasik Lubuk Mandi mulai menjadi perhatian ramai pada 2015 selepas video beberapa remaja terjun ke tasik berwarna biru itu tular di media sosial," katanya.

Tambah beliau, inisiatif memperkenalkan Tasik Lubuk Mandi itu sekali gus bakal melengkapkan pakej pelancongan di Marang yang ketika ini terkenal dengan tarikan seperti Masjid Rusila, Pulau Kekabu, Dataran Batu Putih dan Kampung Jenang.

"Tentunya manfaat ekonomi akan turut dinikmati penduduk setempat menerusi kegiatan perniagaan di kawasan tasik," katanya.

 


Tag: