• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Task Force' Polis Tekad Tangkap Penagih Setiap Minggu

KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Polis Terengganu sedang mempergiatkan usaha memerangi najis dadah dengan penguatkuasaan ‘Task Force’ terdiri daripada 36 ketua polis balai (OCS) melalui tangkapan penagih setiap minggu.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik, berkata usaha tersebut ditubuhkan bagi mengawal statistik 70 peratus penglibatan golongan muda dalam jenayah dadah, pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti.

Katanya, setiap OCS diwajibkan buat tangkapan paling kurang satu atau dua orang penagih yang memiliki dadah walaupun dalam kuantiti kecil.

“Selain itu, satu lagi pasukan petugas di seluruh daerah dalam negeri terdiri daripada 50 orang lebih yang membantu Jabatan Narkotik.

“Hasilnya daripada tahun lepas sehingga sekarang, sebanyak 400 orang penagih hasil tangkapan telah dibuat dalam usaha memerangi statistik satu peratus (12,000 orang) rakyat Terengganu yang merupakan penagih.

“Namun begitu, usaha pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja tidak mampu memerangi sepenuhnya ancaman ini, oleh itu, setiap lapisan masyarakat bermula dari keluarga sehingga pentadbiran dan pemerintah perlu memainkan peranan dan bekerjasama membanteras gejala ini,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, semalam.

Mengulas tentang kategori penagih dalam negeri, beliau memaklumkan kategori pertama adalah kategori penagih tegar ‘hardcore’ terlibat dalam 5 hingga 20 tahun dan ‘digunakan’ tokan dadah sebagai penjual dadah kecilan.

“Penagih baru ‘newcomer’ ini kita ingin selamat dan pisahkan daripada kategori tegar kerana kebanyakan golongan ‘hardcore’ mempunyai rangkaian dengan tokan besar.

“Hukuman boleh dijatuhkan kepada kesalahan dadah kali ketiga, makhamah boleh ambil tindakan dibawah Seksyen 39C (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tiga sebatan.

“Hasilnya kita asingkan mereka daripada masyarakat dan elakkan penagih baru mula lebih mengikuti jejak langkah mereka,” katanya.

Tambah beliau, strategi serampang dua mata tersebut mampu kurangkan kadar jenayah dalam negeri bersama dengan penurunan kes berkaitan dadah.