• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Taska Di Tempat Kerja Ringankan Beban Ibu Bapa Bekerja

DUNGUN, 17 September - Inisiatif Kerajaan Terengganu menubuhkan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) berhampiran tempat kerja berjaya meringankan beban ibu bapa sekali gus memudahkan serta menjimatkan masa untuk menghantar anak mereka. 

Perkara berkenaaan turut diakui, Subki Busu, 31, yang menghantar dua orang anak kecilnya berusia tiga tahun dan setahun lebih di TASKA Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang baru beroperasi.

"Yuran bulanan murah apatah lagi saya di beri subsidi, hanya RM50 seorang, jadi dua orang RM100," katanya yang bertugas sebagai pemandu di MPD. 

Subki ditemui selepas Majlis Perasmian TASKA Permata Keluarga  Majlis Perbandaran Dungun (MPD) oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat di sini baru-baru ini. 

Seorang ibu, Farahin Adnan, 29 turut memuji taska kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu itu yang mengenakan yuran yang murah.

"Lagipun anak saya ini cerewet pasal makan tapi bila berada di taska ni, dia ok je makan, ini memudahkan, saya tidak perlu lagi susah fikir sarapan lagi, di taska telah disediakan," ujar ibu muda kepada seorang anak berusia empat tahun itu.

Sementara itu Pengurus TASKA Permata Keluarga MPD, Zuraini Muhammad berkata, pendaftaran kanak-kanak ke taska berkenaan masih dibuka kepada kakitangan MPD.

"Taska ini boleh menerima 33 orang kanak-kanak yang umurnya bermula tiga bulan sehingga empat tahun. 

"Sehingga kini kanak-kanak ada 23 orang dengan guru seramai enam orang, yuran bulanan RM230 untuk kanak-kanak, kalau 'baby' RM250, untuk pendaftaran pula RM150," ujar guru muda itu. 


Tag: