• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

TATiUC Bakal Jadi Pusat Latihan Pekerja ECRL

YB Ghazali Taib


Kolej Universiti TATI (TATiUC) bakal menjadi pusat latihan pekerja bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Ghazali Taib berkata, ECRL dijangka mampu menyediakan sebanyak antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat termasuk di Terengganu.

"Pihak pengendali projek ECRL, Technology Depository Agency (TDA) di bawah Kementerian Kewangan sebelum ini menyatakan cadangan untuk memilih TATiUC sebagai institusi penyedia latihan kepada projek mega laluan keretapi laju itu,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen TATiUC Ke-11 yang diadakan di Dewan Canselor TATiUC, di Teluk Kalong, Kemaman, semalam.

Menurut Ghazali, proses rundingan bersama pihak TDA dengan pengurusan TATiUC  akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Latihan yang disediakan meliputi enam sub-sektor iaitu 'rolling stock', 'track work',  signalling and communications', 'automated fares' collection', electrification' dan 'tunneling and e-locomotive'.


"Sebagai sebuah institusi teknologi tinggi, TATiUC memiliki fasiliti yang lengkap dan punyai kepakaran yang membolehkan kita menjalankan tanggungjawab sebagai pusat latihan kepada pekerja-pekerja projek ECRL.

"Bukan itu saja, pihak pengendali projek juga berhasrat mengambil graduan-graduan TATiUC sebagai tenaga kerja dalam lokomotif,"katanya.

Ghazali berkata, untuk jangkamasa panjang TATiUC juga mungkin menawarkan kursus baharu seperti penyelenggaraan dan sebagainya seiring dengan perkembangan teknologi keretapi yang semakin maju dari semasa ke semasa.

Tambahnya, pembinaan projek ECRL dengan kos berjumlah RM55 bilion yang  menghubungkan laluan Kuala Lumpur ke Pantai Timur juga bakal mengubah landskap sosioekonomi rakyat terutama di Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Dalam pada itu, Ghazali berkata graduan yang dilahirkan TATiUC juga memiliki kebolehpasaran yang sangat tinggi kerana hampir 90 peratus berjaya menempatkan diri dalam pelbagai sektor perindustrian seluruh Malaysia.

Tag: