• 24 Okt 2024 | 21 Rabiul Akhir 1446

Tauliah : Situasi Yang Wajib Difahami


KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk memberi, meluluskan atau menarik permohonan tauliah pengajaran agama terhadap mana-mana individu di Terengganu.

Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Muhammad Ramlan Mahmood berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berautoriti iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk membuat keputusan terbaik berkaitan perkara itu.

“Kerajaan negeri tiada kuasa atau hak untuk memberi atau menolak sebarang permohonan tauliah. Saya berpendapat biarlah urusan itu diputuskan MAIDAM kerana ia berada di bawah bidang kuasa pihak mereka.

“Ia juga selaras dengan Seksyen 102, Enakmen 2 Tahun 2001, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) bahagian Pendidikan Islam yang menyebut Majlis (MAIDAM) hendaklah melantik suatu jawatankuasa bernama Jawatankuasa Pengawasan Pendidikan Agama Islam.

“Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengadakan Kunjungan Hormat terhadap Yang Dipertua MAIDAM, Dato’ Haji Osman Muda di pejabat MAIDAM di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, tidak timbul isu kerajaan negeri bertindak mengagalkan mana-mana permohonan tauliah daripada mana-mana penceramah atau individu.

Sebaliknya beliau menegaskan urusan tersebut adalah terletak di bawah institusi lain dan dijaga oleh pihak yang berautoriti.

“Jadi tuduhan yang mengatakan kerajaan negeri tidak memberi kelulusan tauliah kepada pihak tertentu adalah tidak benar kerana ia bukan bidang kuasa kerajaan negeri.

“Kita tidak boleh melangkaui tugasan atau bidang kuasa pihak lain kerana ia sudah tertakluk dalam undang-undang,” tambah beliau.


Tag: