• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

TDC Holdings Taja Terengganu FC RM4 Juta

KUALA NERUS, 18 Januari - TDC Holdings Sdn Bhd, pengeluar produk kesihatan Colever diumumkan sebagai penaja platinum bagi Terengganu Football Club (TFC) bagi musim 2022 dan 2023.

Syarikat yang terkenal dengan produk susu kolostrum, C2Joy itu menandatangani persefahaman strategik bersama TFC Sdn Bhd dengan penajaan bernilai RM4.5 juta bagi dua musim bermula tahun ini.

Tajaan tersebut melibatkan sokongan kewangan berjumlah RM2 juta bagi setahun dan RM500 ribu melalui penajaan barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings, Mohd Hafizudin Hiew Abdullah berkata, persefahaman tersebut merupakan langkah mengukuhkan jalinan kerjasama antara kedua-dua syarikat.

“Pada awalnya, perbincangan lebih bertumpu kepada penajaan biasa, namun setelah beberapa pertemuan kita berhasrat menjadi penaja platinum bagi TFC dan menjalinkan persahabatan antara kedua entiti.

“Melalui siri-siri pertemuan, kita menilai visi dan misi kita bersama TFC agak selari, ‘branding’ kita juga agak sinonim dan sesuai dengan pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani persefahaman di Komplek Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Tambahnya, selain memberi sokongan kewangan, pihaknya juga memfokuskan kerjasama sebagai rakan kerja strategik dalam perniagaan bagi membangun TFC supaya bukan sahaja bergantung kepada dua sumber iaitu jualan tiket dan marchandise cenderamata tetapi turut memiliki pembangunan produk bersama pada masa depan.

“Untuk makluman, TDC Holdings juga adalah sebuah syarikat yang fokus kepada pemasaran, jadi kita boleh melakukan pemasaran produk yang boleh menjana keuntungan kepada TFC secara konsisten,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh berbesar hati dengan penajaan berkenaan.

“Ini adalah nilai keseluruhan penajaan berdasarkan apa yang dimeterai. Namun, kerjasama lain akan turut dijalinkan melalui perbincangan dan persefahaman dari masa ke masa,” katanya.

Majlis persefahaman terbabit turut dihadiri pengurus TFC, Mohd Fadhil Wahab dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain bersama sebahagian pemain TFC.


Tag: