• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

TDM Lupus Aset Tak Pernah Untung Di Indonesia

KUALA TERENGGANU, 31 Julai- Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad telah melupuskan keseluruhan kepentingan ekuiti mereka dalam PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezeki Abadi (SRA) kerana mengalami kerugian serta tidak pernah mencatat keuntungan.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, berkata RKA telah mengalami kerugian sejak diperbadankan pada 2007 manakala SRA pula tidak pernah mencatat keuntungan sejak awal penubuhannya 2011.

Katanya, perjanjian jualan dan pembelian RKA serta SRA ditandatangani bersama PT Ikhasas Sawit Sdn Bhd pada harga RM115 juta.

"Penjimatan kos yang besar dan modal dijangka dijana daripada pelupusan tersebut, dengan itu TDM dapat menumpukan sumber dan perhatian kepada operasi syarikat di Malaysia. 

"Ini adalah termasuk inisiatif mengoptimumkan pengeluaran hasil tanah milik syarikat di Pantai Timur dengan mempelbagaikan usaha tanaman lain selain ladang kelapa sawit dan pengeluaran minyak sawit mentah (“CPO”).

"Dengan proses pelupusan yang kini berjalan mengikut perancangan, TDM juga tekad untuk mempertingkatkan lagi usaha mencipta dan menambah baik nilai bagi pihak berkepentingan di masa hadapan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian jualan dan pembelian bersyarat dengan Pengarah Urusan Kumpulan Ikhasas, Tan Chee Kian.

Dalam masa yang sama, TDM juga turut menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan bersama PT Ikhasas Indo Makmur bagi pengambilalihan kawalan operasi ke atas aset-aset RKA serta SRA yang sedang dilupuskan dan dijangka selesai sepenuhnya pada suku pertama tahun 2025.

Menurut Najman, TDM akan memperolehi hasil kasar sebanyak RM112.0 juta daripada Cadangan Pelupusan tersebut tidak termasuk bahagian pemegang saham minoriti, yang mana RM74.2 juta akan diperuntukkan untuk pembiayaan balik pinjaman berfaedah dan RM29.3 juta untuk modal kerja am. 

"Baki RM8.5 juta pula akan diguna pakai bagi perbelanjaan berhubung dengan pelaksanaan pelupusan," katanya.