• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

TDM Mulakan Penanaman Pertama Di Ladang Pelung Terengganu

KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Kumpulan TDM Berhad mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung, di sini.

Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar.

"TDM optimis dan akan terus memberi tumpuan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti yang disokong oleh asas-asas jangka panjang.

"Kami amat komited di mana kemampanan dan persijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah membolehkan kami menikmati premium yang lebih baik daripada penjualan Minyak Kelapa Sawit Lestari Disahkan (CSPO) dan Minyak Tempurung Sawit Lestari Diperakui (CSPK) kami," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada majlis tersebut, beliau telah menandatangani plak sebagai tanda penanaman pertama untuk tahun 2020 menggunakan teknik Sistem Informasi Geografi (GIS) dan Kenderaan Udara tanpa Pemandu (UAV).

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Behad, Zainal Abidin Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn. Bhd., Mohd Ghozali Yahaya dan juga pengurusan dari bahagian perladangan.

Jelasnya, inisiatif itu adalah tindak balas dari Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) yang sedang berjalan di bahagian perladangan TDM.

"Industri sekarang secara keseluruhan menghadapi cabaran besar seperti kenaikan kos bekalan dan kekurangan tenaga kerja. Kumpulan menyedari cabaran dan berusaha untuk menangani masalah tersebut.

"Inovasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk mengurus kos operasi, mengurangkan kebergantungan pekerja secara manual dan mematuhi amalan dan prosedur pertanian yang baik," ujarnya.

Untuk rekod, TDM Berhad diperbadankan pada tahun 1965 yang mana tanaman pertama adalah di Ladang Air Putih, Kemaman. Ladang TDM telah memasuki pusingan penanaman ketiga pada tahun 2012.