• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

TDM Untung RM27.7 Juta Bagi Suku Ketiga

KUALA TERENGGANU, 25 November - Anak syarikat milik kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM27.7 juta pada untuk suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2020.

Pengerusi TDM Berhad, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, ia menunjukkan peningkatan lebih dari 100 peratus berbanding suku ketiga tahun lalu.

Katanya, ia telah disumbangkan oleh bahagian perladangan dengan jumlah tanaman yang lebih tinggi dan harga CPO purata yang lebih baik.

“Pendapatan Kumpulan juga telah meningkat lebih tinggi sebanyak 15 peratus iaitu RM121.4 juta berbanding suku sebelumnya. Pada suku tersebut, pembelian tandan buah kelapa sawit luar meningkat kepada 62 peratus berbanding suku tahun lalu dan ini telah membantu meningkatkan jumlah CPO serta kadar penggunaan kilang.

“Perniagaan bahagian perladangan TDM di Malaysia mencatatkan EBITDA sebanyak RM38 juta pada suku tersebut, berbanding RM12.5 juta pada suku yang sama tahun lalu.

“Pengambilalihan TDM-YT Plantation Sdn Bhd (TDM-YT) telah menyumbang kepada peningkatan jumlah penjualan CPO dan PK pada suku tersebut. Pihak pengurusan telah mengenal pasti Pelan Penciptaan Nilai untuk TDM-YT dan kini melaksanakan rancangan untuk meningkatkan prestasi ladang tersebut. Pengambilalihan ini telah memberi sumbangan positif kepada prestasi TDM,” kata Raja Dato’ Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, bahagian penjagaan kesihatan pula semakin pulih daripada kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac 2020.

Ia dibuktikan dengan pendapatan RM49.9 juta atau lebih rendah sebanyak 15 peratus berbanding suku sebelumnya.

“Pada suku ketiga, bahagian ini mencatat EBITDA yang lebih rendah sebanyak RM7.6 juta, berbanding EBITDA sebanyak RM8.6 juta pada suku yang sama tahun lalu.

“Walaupun bahagian ini mencatatkan pendapatan yang lebih rendah sebanyak 15 peratus berbanding suku sebelumnya, TDM didorong dengan pemulihan yang baik berbanding suku kedua 2020, di mana jumlah pesakit dalam dan luar berbanding suku kedua 2020 meningkat masing-masing sebanyak 65 peratus dan 28 peratus,” katanya lagi.

Justeru itu, Raja Dato’ Idris berkata, TDM akan tetap fokus dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran untuk perniagaan bahagian Perladangan. 

“Pengambilalihan TDM-YT baru-baru ini adalah salah satu inisiatif utama dalam usaha syarikat untuk meningkatkan pengeluaran dan meningkatkan profil usia keseluruhan Kumpulan.

“Kami telah merumuskan beberapa strategi bagi mengatasi cabaran melalui pelan kesinambungan perniagaan dan pemulihan perniagaan. Secara keseluruhannya, TDM tetap optimis bagi mencapai prestasi operasi yang memuaskan pada tahun kewangan semasa," ujar beliau.
 


Tag: