• 23 Jun 2021 | 13 Zulkaedah 1442

Teganu Prihatin, Rintis Penduduk Cakna Isu Semasa

KUALA TERENGGANU, 6 April - Program Teganu Prihatin kini dilihat menjadi medium terbaik dalam menyampaikan dasar negara dan negeri kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu, Ahmad Ammar Othman berkata, tujuan program berkenaan diadakan bagi melaksanakan hebahan pelbagai maklumat berkaitan isu semasa, kempen dan dasar kerajaan seperti pengamalan norma baharu pasca pandemik COVID-19. 

"Setiap hari, JaPen akan mengadakan hebahan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat dalam pelbagai medium.

"Dari sini, timbul idea daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah supaya kita adakan satu program turun padang dengan mengumpulkan pelbagai agensi persekutuan dan negeri agar kita dapat uar-uarkan mesej terus kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Teganu Prihatin siri pertama di Pulau Perhentian, baru-baru ini.

Jelasnya,kempen berkenaan diwujudkan dengan tema, Merintis Komuniti Berinformasi bagi membina masyarakat bermaklumat dengan penyampaian info berkaitan daripada pelbagai agensi.

"Gabungan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan sokongan padu Pejabat Daerah dan Tanah Besut serta pegawai penyelaras DUN mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

"Selain itu, kita akan adakan beberapa siri program selepas ini, mungkin kita akan pergi ke kawasan pedalaman dan cuba mendekati masyarakat dengan pelbagai medium supaya masyarakat selesa dengan kami," katanya.

Tambah Ahmad Ammar, kempen-kempen ini perlu sentiasa dilaksanakan supaya masyarakat faham betapa pentingnya komuniti yang berinformasi.

"Terutama pada waktu sekarang, kita perlu ingatkan masyarakat tentang pengamalan norma baharu dalam kehidupan, kita tidak mahu jika berlaku jangkitan Covid-19 di sini, pulau akan ditutup dan situasi itu akan menyusahkan semua penduduk. 

"Justeru, menjadi kewajipan kami untuk turun kepada masyarakat dan memberi penerangan tentang kepentingan vaksin dan sebagainya, serta memberi kefahaman tentang kewajipan masyarakat untuk cakna dengan isu semasa bersumberkan maklumat sahih," katanya.

Dalam program selama dua hari itu, hampir 200 penduduk mendaftar vaksinisasi, 13 penduduk melaksanakan urusan berkaitan Mykad dan 72 orang berurusan dengan SPR bagi daftar pemilihan.