Tegas Kawal Aspek Keselamatan Pelancongan

KUALA TERENGGANU, 18 Jun  – Kerajaan Negeri menegaskan komitmennya dalam memastikan aspek keselamatan pelancong dan petugas sektor pelancongan, khususnya wanita, terus diberi perhatian serius.

Katanya ia seiring usaha memajukan pelancongan komuniti yang berteraskan nilai Islam dan budaya tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap soal pematuhan pemakaian sopan dalam sebarang bentuk pertunjukan, persembahan, penggambaran drama atau filem yang dijalankan di Terengganu.

“Kajian menunjukkan bahawa aspek pemakaian menjadi antara indikator kepada persekitaran sosial yang sihat atau sebaliknya. 

"Sekiranya pakaian tidak mengikut garis panduan syariah, risiko keselamatan wanita akan meningkat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Wanita Terengganu Berinformasi yang diadakan di Dewan PPR Hiliran, semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap keperluan penyediaan papan tanda keselamatan yang mesra wanita di lokasi pelancongan utama sebagai satu bentuk sokongan kepada perlindungan dan keselesaan pengunjung.

Bagi memperkukuh pemantauan keselamatan, kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), unit pelancongan daerah dan agensi berkaitan bagi memantau dan bertindak terhadap sebarang bentuk gangguan atau ancaman terhadap pelancong.

Dalam perkembangan berkaitan, Razali turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersedia untuk menerima wanita sebagai ketua komuniti pelancongan pantai (beach tourism), selaras dengan dasar pemerkasaan wanita di peringkat akar umbi.

“Kita tidak menolak wanita sebagai pemimpin komuniti pelancongan. 

"Namun, pendekatan yang dibawa mestilah berdasarkan kekuatan produk tempatan dan kefahaman terhadap ekosistem pelancongan komuniti,” katanya.

Beliau mengambil contoh kawasan Tebakang Kampung, sebuah destinasi yang semakin dikenali kerana berjaya mengekalkan keunikan kampung sambil memajukan pelancongan berasaskan komuniti. 

Tebakang Kampung kini menawarkan aktiviti ATV untuk pelancong, pasaraya komuniti, produk makanan tradisional seperti rempah gulai kawah, serta institusi pendidikan seperti madrasah.

Justeru itu, katanya, usaha ini seiring dengan hala tuju kerajaan negeri dalam menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang mesra syariah, selamat dan inklusif. 

"Di samping menjana pendapatan kepada komuniti setempat terutama golongan wanita," tambah beliau.


Tag: