• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Tegshbayar Sedia Pertahan Jersi Beautiful Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 September- Pelumba Roojai Online Insurance (ROI) dari Thailand, Batsaikhan Tegshbayar bersedia mempertahankan jersi putih Beautiful Terengganu (Pelumba Terbaik Asia) dalam perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, hari ini.

Pelumba kelahiran Mongolia itu memenangi jersi putih tajaan kerajaan Terengganu pada perlumbaan peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer, semalam.

"Ini kali pertama saya memenangi jersi dalam LTdL, jadi sudah semestinya saya akan cuba mempertahankannya," katanya yang ditemui sebelum pelepasan perlumbaan peringkat kedua LTdL 2023 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun itu turut berharap mencipta nama dalam Jelajah LTdL 2023 selepas menjuarai Tour of Thailand 2023 yang berlangsung pada April lalu.

Dalam majllis pelepasan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pagi ini, 'flag off' disempurnakan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Perlumbaan peringkat kedua LTdL 2023 melibatkan laluan sepanjang 186.2 kilometer yang merangkumi dua zon pendakian dan tiga zon pecutan.

 


Tag: