• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Teliti Pinjaman Mudah Untuk Penternak Bagi Kawal Harga Ayam

HULU TERENGGANU, 23 Oktober - Kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian pinjaman mudah kepada penternak ayam sebagai langkah menangani isu kenaikan harga sumber protein itu di pasaran.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata, kemudahan pinjaman mudah antara cadangan yang diperincikan di samping beberapa langkah lain untuk mengatasi isu kenaikan harga ayam, terutama bagi jangka panjang.

"Kementerian Kewangan (MOF) juga menyambut baik cadangan tersebut (pinjaman mudah).

"Jadi, pinjaman mudah ini dilihat dapat membantu mereka  menstabilkan pengeluaran ayam dan kos operasi, sekaligus menstabilkan harga ayam di pasaran," ujarnya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Jualan Koperasi Rakyat Felda Bukit Bading di Bangunan Koperasi Felda Bukit Bading, Ajil, hari ini.

Menurut beliau, cadangan tersebut hasil libat urus yang telah  dijalankan KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama pemain industri, yang mana pemain industri penternakan ayam memohon kerajaan memberikan pinjaman mudah atau soft loan dalam tempoh  antara dua hingga tiga tahun.

"Ini kerana isu yang dihadapi penternak ayam sehingga berlaku kenaikan harga sumber protein itu bukan hanya masalah kenaikan kos dedak ayam, tetapi juga kos operasi," katanya

Tambah Rosol, pihaknya juga meneliti semua cadangan-cadangan untuk mengatasi isu kenaikan harga  ayam untuk jangka panjang kerana tidak mahu isu harga terus berulang di masa depan.