• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Tempat Bersejarah Ulama Jadi Produk Pelancongan Baharu

KUALA TERENGGANU, 20 Oktober – Kerajaan negeri telah mengerakkan usaha bagi memajukan tempat-tempat bersejarah ulama islam terutamanya di sekitar Taman Tamadun Islam dan susur Sungai Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sebuah jawatankuasa khas telah mengkaji dan mengenalpasti tempat-tempat yang kurang mendapat perhatian.

Katanya, jawatankuasa tersebut juga menjadi penyelaras supaya komuniti dan pengusaha pelancongan mendapat manfaat dalam sektor tersebut. 


"Pada hari ini kami telah melawat tempat peninggalan sejarah iaitu rumah dan surau Haji Abdul Rahman Limbong atau lebih dikenali sebagai Tok Limbong di Kampung Jongok Tong, Beladau Kolam, Kuala Terengganu.

"Kita berbincang untuk membangunkan kembali rumah ini sebagai produk pelancongan bersejarah Islam di susur Sungai Terengganu, sambil memelihara keasliannya. Aktiviti Ratib Khas di surau Haji Abdul Rahman Limbong sentiasa diadakan oleh komuniti setempat, tetapi tidak diketahui ramai.

"Rumah Tok Limbong telah diubahsuai kerana binaan lama yang rapuh. Pura Tanjung Sabtu pula mempunyai rumah lama dengan persekitaran yang cantik jika dibersihkan, kita akan cuba untuk istiharkan tempat-tempat sebegini sebagai tarikan pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi bersejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kompleks Tuanku Nur Zahirah yang merupakan kompleks songket juga mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diketengahkan.


Dalam perkembangan lain, Ariffin memberitahu, usaha komuniti Banggol Cempedak yang menjalankan penyedutan pasir sehingga menjadikan pesisir sungai di kawasan itu sebagai tempat pelancongan wajar diikuti.

"Komuniti sebegini wajar dijadikan contoh dan Pejabat Dewan Undangan Negeri Alur Limbat akan berbincang lagi usaha dalam melengkapkan sektor sebegini," ujarnya lagi.