• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tenaga Boleh Diperbaharui Nafas Baharu Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Terengganu sedang mengorak langkah baru dengan mengfokuskan kepada tenaga boleh diperbaharui untuk memajukan ekonomi negeri. 

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrated Studies (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata sumber tenaga alternatif itu penting untuk mencapai visi Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera menjelang 2030.

“Pengembangan tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja memberi nafas baharu kepada ekonomi Terengganu, tetapi juga memastikan kelestarian alam sekitar terjaga.

“Inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) yang menekankan pembangunan yang berterusan dan lestari,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Resilient Terengganu Dialogue 2024 (RTD2024) di Dewan Intan, Hotel Permai di sini hari ini.

Tambah Dr Hanif, usaha itu termasuk bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional dengan menggunakan tenaga solar dan angin. 

“Langkah ini dijangka dapat meningkatkan hasil bukan cukai negeri sehingga 10 peratus setiap tahun.

“Tenaga boleh diperbaharui akan menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi negeri, menyediakan peluang pekerjaan baharu, dan menarik pelaburan luar,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengkaji potensi nadir bumi sebagai sumber ekonomi baharu yang boleh meningkatkan daya saing Terengganu di peringkat global. 

“Ini termasuk memperkukuh infrastruktur dan melaksanakan program latihan untuk memastikan tenaga kerja tempatan bersedia untuk industri baru ini.

“Dengan fokus pada tenaga boleh diperbaharui dan nadir bumi, Terengganu optimis untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif, memberikan manfaat kepada seluruh rakyat negeri,” ujarnya.

 

 


Tag: