Tengku Muhammad Ismail Tinjau Projek Kawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus

KUALA NERUS, 13 Februari - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli 'turun padang' meninjau pelaksanaan projek Pengawalan Hakisan Pantai di sekitar pantai Kuala Nerus, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Pengarah Unit Pembangunan Negeri Terengganu (UPEN), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak ke lokasi pada jam 10.00 pagi, disambut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Ts GS Osman Abdullah, Pegawai daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli dan Jurutera Awam Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir Ts Nazman Mohamad.

Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Mohd Suhaimie Ismail dan kakitangannya.

Setibanya di lokasi, Tengku Muhammad Ismail berkenan mendengar taklimat berkenan situasi semasa hakisan yang disampaikan Tun Ahmad Faisal dan Osman sebelum mencemar duli melawat kawasan terjejas hakisan.

Baginda melakukan tinjauan di dua lokasi iaitu Pengkalan Maras dan Kampung Tanjung dan berangkat pulang sekitar jam 12.00 tengahari.

Untuk makluman, projek Pengawalan Hakisan Pantai melibatkan pesisir sejauh lapan kilometer itu dilaksanakan kontraktor anak syarikat kerajaan negeri iaitu GPQ Sdn Bhd.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan 16 buah pemecah ombak luar pesisir (off shore breakwater) dan penyuburan pantai sejauh dua kilometer.

Projek tersebut dijangka siap pada awal tahun 2027 dan kini berada pada 22 peratus status kemajuan kerja, lebih cepat 0.15 peratus dari jadual asal.


Tag: