KUALA TERENGGANU, 6hb Mac- Aroma bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong menyemarakkan suasana Ramadan di Terengganu Equestrian Resort (TER) apabila lebih 300 bekas juadah tradisi itu disediakan dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), semalam.
Program yang berlangsung penuh semangat kebersamaan itu disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Perkasa Alam, Tengku Seri Bijaya Raja, dengan penyertaan barisan pengurusan serta ahli Kelab Sukan dan Kebajikan TER yang bersama-sama berganding bahu menyediakan hidangan berkenaan.

“Ramadan adalah bulan untuk berkongsi dan mengeratkan silaturahim.
" Program seperti ini bukan sahaja menyatukan warga kerja dan rakan strategik, malah memperlihatkan komitmen TER sebagai organisasi yang prihatin terhadap komuniti,” katanya.

Menurutnya, bagi hidangan berbuka puasa pula, pengunjung boleh menikmati set menu bermula RM39 untuk dua orang sehingga RM120 untuk empat orang selain pakej bufet iftar di Club House pada harga RM55 seorang.
“Pengunjung boleh menikmati hidangan berbuka dan moreh dalam suasana santai, unik serta eksklusif di resort ini,” katanya.
Dalam masa sama, TER turut menganjurkan TERmoreh Raya 2026 bermula 21 Februari hingga 18 Mac ini yang menghimpunkan lebih 100 vendor melibatkan pelbagai kategori termasuk makanan, minuman, pakaian serta produk perayaan.
Menurut Ahmad Fathil, inisiatif itu bukan sahaja memeriahkan suasana Ramadan di TER, malah membantu merancakkan ekonomi usahawan tempatan.
“Melalui program ini, TER bukan sahaja menjadi destinasi santai berbuka puasa, tetapi juga hab komuniti yang merancakkan aktiviti sepanjang Ramadan,” katanya.
Tag :