• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terap Semangat Juang Pahlawan Menentang COVID-19

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Semangat perjuangan menentang COVID-19 boleh dicontohi daripada nilai perjuangan menentang penjajah bagi memperoleh kemerdekaan di tanah air suatu ketika dulu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semangat Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Ku Paloh tersemat erat dalam diri setiap rakyat Terengganu.

"Malah perjuangan kedua-dua tokoh ini bersama tokoh-tokoh yang lain, menjadi penguat semangat kami untuk melawan segala cabaran, termasuk COVID-19 yang kini menjadi ancaman bukan sahaja kepada Malaysia, bahkan seluruh dunia.

"Usaha menangani penularan COVID-19 tidak akan berjaya, jika tugas memerangi dan memutuskan rantaian wabak tersebut diserahkan kepada petugas barisan hadapan dan kerajaan semata-mata.

"Prinsip (perjuangan) yang sama perlu kita lakukan, untuk keluar dan merdeka daripada dugaan pandemik COVID-19 yang sedang kita hadapi, tugas ini memerlukan kita mengambil semangat yang pernah dipupuk, di zaman pembentukan negara ketika membebaskan diri daripada penjajah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Menjelaskan tema 'Malaysia Prihatin', Ahmad Samsuri menyifatkan pengertiannya cukup besar bahawa seluruh rakyat khususnya di Terengganu untuk berganding bahu bersama kerajaan sekali gus membawa negeri dan negara keluar daripada pandemik.

"Pada waktu yang sama, kerajaan sentiasa berusaha dengan penuh keprihatinan yang tinggi untuk membantu rakyat dalam kesusahan dengan memberi bantuan melalui pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi, kesihatan dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia," tambahnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan kerana memilih Terengganu sebagai tuan rumah bagi majlis tahun ini.

Terengganu merupakan tuan rumah pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini, namun tiada acara sambutan secara fizikal dalam pematuhan Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19.