• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Terapkan Nilai Agama Dalam Mendidik Anak



Oleh: Nooreni Abu Bakar dan Norisah Ngah

HULU TERENGGANU, 12 September -Banyakkan bersabar dalam mendidik anak-anak dan paling penting terapkan nilai-nilai keagamaan dalam mengasuh seawal usia akil baligh mereka, pesan Zaimah Sulong.

Zaimah, 58, yang mempunyai 12 anak merupakan penerima Anugerah Tokoh Keluarga Tunggal Mithali di Majlis Sambutan Ma'al Hijrah 1441H Peringkat Negeri Terengganu.

Walaupun tanpa tonggak utama keluarga yang bergelar suami atau ayah kepada anak-anaknya, bukanlah menjadi penghalang kepada dirinya untuk mendidik keluarga hingga berjaya.

Beliau yang kematian suami sejak 12 tahun lalu amat menekankan ajaran Rasulullah S.A.W dalam mendidik anak-anaknya.

Oleh kerana keterbatasan masa sebagai seorang ibu tunggal yang bekerjaya, masa bersama anak-anak amat dititikberatkan oleh beliau.

"Dalam mengajar dan mendidik anak-anak, ajaran Rasulullah S.A.W  menjadi ikutan  iaitu mendidik dengan kasih sayang, disiplin, anggap anak-anak sebagai kawan  dan memenuhi kehendak anak-anak setakat mana kemampuan," ujarnya.

Beliau yang juga setiausaha Muslimat PAS Batu Enam ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Bujuk, Manir ketika kunjungan Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan dan Media Baru, Muslimat PAS Terengganu yang diketuai timbalannya Zaiton Abbas, kelmarin.

Pesara guru yang jawatan terakhir sebagai Penolong Kanan di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa dan pernah tiga kali menerima Anugerah Perkhidmatam Cemerlang itu mengakui cabaran mendidik anak masa kini amat mencabar termasuk pengaruh gadjet.

"Oleh itu hanya dengan didikan agama yang sempurna dapat mengelakkan anak-anak muda dari terjebak dalam menyalah guna kemudahan yang ada.

“Justeru, sebagai ibu bapa kita perlu banyakkan sabar dalam mendidik anak-anak dan didikan agama terutama ajaran al-Quran sangat penting ," ujarnya.


Tag: