lightning-solid
Berita :
Terengganu Angkat Ulama Sebagai Rakan Dasar, Perkukuh Panduan Hiburan, Sosial Negeri
Terengganu Angkat Ulama Sebagai Rakan Dasar, Perkukuh Panduan Hiburan, Sosial Negeri
Husaif Mamat
13 jam yang lepas
130


KUALA TERENGGANU, 16 Januari – Terengganu terus menampilkan pendekatan tadbir urus yang matang dan berpandangan jauh apabila mengiktiraf golongan ulama serta asatizah sebagai rakan strategik dalam pembinaan dasar negeri, khususnya melibatkan garis panduan hiburan, sosial dan kehidupan bermasyarakat.

Komitmen ini dizahirkan menerusi satu sesi perbincangan bersama delegasi Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) dan Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu (DUPNT) yang berlangsung petang semalam di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Delegasi PAKAT diketuai oleh Ustaz Mohd Hanapiah Hussin, manakala DUPNT diterajui oleh Dr. Wan Mat Sulaiman. 

Sesi ini menjadi medan perbincangan terbuka dan konstruktif antara pembuat dasar serta ilmuwan agama dalam memperhalusi hala tuju pentadbiran negeri.

Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Dasar TSIS, Mohd Eikhwan Ali berkata, pertemuan tersebut memberi peluang kepada pihaknya mendapatkan maklum balas langsung daripada para asatizah dan ulama berhubung beberapa perkara yang masih memerlukan penelitian lanjut dalam draf Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu.

Menurut beliau, pandangan yang dikemukakan amat penting bagi memastikan kandungan draf berkenaan lebih jelas, praktikal untuk dilaksanakan serta selari dengan realiti pentadbiran dan keperluan masyarakat yang pelbagai.

“Proses ini penting supaya dasar yang dirangka bukan sekadar memenuhi kehendak hukum secara teoritikal, tetapi benar-benar boleh difahami, diterima dan diamalkan oleh masyarakat,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. 

Beliau turut memaklumkan bahawa draf garis panduan tersebut sebelum ini telah dibincangkan secara terperinci dalam satu bengkel khas pada 30 Disember 2025, manakala sesi bersama PAKAT dan DUPNT kali ini merupakan kesinambungan kepada usaha penambahbaikan yang berterusan.

Katanya, pandangan, teguran dan cadangan yang disuarakan oleh golongan ulama dan asatizah menjadi elemen penting dalam memastikan dasar yang dibangunkan bukan sahaja patuh syariah, malah berkesan dalam membentuk keharmonian sosial serta kesejahteraan rakyat Terengganu.

Pendekatan ini sekali gus mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri Terengganu untuk membina dasar secara inklusif dan berimbang, dengan menjadikan ilmu, hikmah dan kebijaksanaan ulama sebagai teras kepada pembangunan negeri yang berkat dan sejahtera.


Tag :

Artikel Berkaitan