• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Anjur Pertandingan Pelita Raya ‘Online’

KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Bagi menceriakan lagi sambutan Aidilfitri di Terengganu tahun ini, kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Pelita Raya Online Beautiful Terengganu : PKP Raya Style 2020 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM8,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata pertandingan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu foto terbaik dan video terbaik itu akan bermula pada 18 Mei hingga 26 Mei ini sekali gus dapat mempromosikan Terengganu sebagai lokasi pelancongan yang ‘wajib’ dikunjungi pada masa akan datang.

Beliau berkata menjadi kelaziman dan tradisi penduduk terutama di kawasan kampung memasang pelita di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan sekitar kampung untuk menceriakan suasana waktu malam pada hari-hari terakhir bulan Ramadan.

“Namun, kita maklum, suasana Ramadan dan Aidilfitri kali ini agak ‘suram’ selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan wabak COVID-19.

“Jadi pertandingan ini sekurang-kurangnya akan menceriakan sesebuah keluarga di kawasan kejiranan agar mereka lebih kreatif dalam ‘menghidupkan’ suasana malam yang suram dan memeriahkan sambutan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat di negeri Terengganu dengan setiap penyertaan tertakluk kepada kreativiti peserta dalam menampilkan dekorasi pelita untuk menghiasi kediaman masing-masing.

Ariffin berkata bagi kategori video, peserta perlu memastikan klip yang dihantar tidak melebihi dua minit dan dibenarkan melakukan suntingan untuk menjadikan video mereka lebih menarik.

Beliau berkata bagi kategori foto, peserta perlu menghantar gambar suasana persediaan dan gambar pelita raya yang dibuat dengan minimum lima keping gambar termasuk swafoto berseorangan atau secara berkumpulan.

“Penyertaan boleh dihantar melalui laman Facebook Beautiful Terengganu Malaysia dan mengikuti semua syarat yang telah ditetapkan,” katanya.-BERNAMA