• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu Atur Langkah Sasar Kehadiran 5 Juta Pelancong


Ariffin menampal logo Tahun Melawat Malaysia 2020 dibantu Che Sulaiman (kedua dari kiri), Sulaiman dan Ahmad Zulfa (kanan). 
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Kerajaan Terengganu mengatur langkah untuk mengangkat pelancongan negeri dengan menawarkan pelbagai program menarik sepanjang tahun 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman menyasarkan untuk mencapai kehadiran lima juta pelancong dengan mengetengahkan beberapa aspek kekuatan negeri.

“Program terdekat yang akan diadakan ialah pada bulan Februari ini iaitu aktiviti kayuhan TSG Shimano Fellowship Ride 2020.

“Selain itu, Terengganu juga akan mengadakan Perhimpunan Pendikir Muda 2020 yang mengetengahkan bakat-bakat baharu pewaris tradisi masyarakat,” katanya.

Ariffin yakin peningkatan pengunjung bagi tahun 2020 ke Terengganu.
Beliau berkata demikian keitika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu menghadiri Majlis Sambutan Sempena Tahun Melawat Malaysia anjuran bersama Tourism Malaysia Wilayah Timur di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), baru-baru ini.

Turut hadir ialah timbalannya, Sulaiman Sulong, Pegawai Pelancongan Kanan TIC Kuala Terengganu, Tourism Malaysia Wilayah Timur, Ahmad Zulfa Shafie dan Pengurus Malaysia Airport Berhad LTSM, Che Sulaiman Che Pa.

Sebagai program pertama di negeri Terengganu bagi tahun 2020, kerajaan negeri menyampaikan sumbangan atau 'goodies' dari Tourism Malaysia Wilayah Timur kepada pengunjung yang tiba dari penerbangan pertama ke Kuala Terengganu.

Sumbangan turut diagihkan kepada pemandu-pemandu teksi lapangan terbang sebagai simbolik memberi semangat untuk mereka lebih cemerlang pada masa akan datang.

Sulaiman menyampaikan cenderahati kepada pengunjung yang tiba.



Tag: