• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Bakal Haramkan Jualan Telur Penyu

KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Terengganu bakal mengharamkan sepenuhnya penjualan telur penyu di negeri ini bagi memastikan spesies itu terus terpelihara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, larangan itu akan terpakai selepas Enakmen Pemuliharaan Penyu 1951 (Pindaan 1987) dipinda dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) November depan.

"Enakmen sedia ada tidak melarang penjualan telur penyu. Sebelum ini, larangan hanya melibatkan telur penyu belimbing tetapi spesies lain (agar, lipas dan karah) dibenarkan menyebabkan ia dijual secara terbuka termasuk di Pasar Payang, Kuala Terengganu

"Sebelum ini juga kadar hukuman terlalu rendah dan tidak mampu berfungsi sebagai enakmen yang mampu mencegah dan menakutkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pemuliharaan Penyu di Pantai Mak Kepit, Pulau Redang, di sini semalam.

Susulan itu katanya, dalam tempoh berbaki sebelum akta itu dikuatkuasakan sepenuhnya, para penjual yang terlibat digesa bersedia.

Menurut Dr Azman, kerajaan negeri serius melaksanakan perkara itu bagi memastikan ikon pelancongan Terengganu tersebut dipelihara kerana ia menjadi penyebab kedatangan pelancong.

"Langkah ini menerima maklum balas yang sangat baik daripada pelbagai pihak sama ada Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkait alam sekitar juga institusi pengajian tinggi," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Azman memaklumkan, sempena Tahun Pertanian Negeri, RM300,000 telah diperuntukkan kepada 10 pusat pemuliharaan dan konservasi reptilia berkenaan 

Untuk rekod Pusat Konservasi Pantai Mak Kepit yang mula diwartakan sejak tahun 1992 merupakan lokasi kedua tertinggi jumlah pendaratan penyu dan menetas secara semula jadi.

Tahun lalu, sebanyak 1,032 sarang telah direkod oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

 

 


Tag: