• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Bakal Pengeluar Makanan Ternakan Terbesar Negara


Terengganu muncul negeri pertama di Malaysia yang mengusaha industri penanaman jagung bijirin secara komersial dan berskala besar.

Projek terbabit melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM27 juta daripada Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, program Transformasi Ekonomi Negeri melalui bioteknologi, selaras dengan agenda negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada import jagung bijirin bagi makanan ternakan.


"Projek ini akan menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan ternakan terbesar di Malaysia," katanya di Majlis Pelancaran Industri Penanaman Jagung Bijian Terengganu di Rhu Tapai, Setiu, hari ini.
Katanya, pada masa yang sama, kerajaan mensasarkan pengurangan jagung bijian import dari luar negara sebanyak RM3.5 bilion dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Malah, kerajaan negeri juga berkeyakinan industri tanaman jagung bijirin ini akan menjadi satu sumber pendapatan baharu kepada penduduk Terengganu.

Ahmad Razif berkata, potensi tanaman ini sangat besar dan mana-mana tanah terbiar khususnya tanah-tanah bekas sawah adalah sangat sesuai dengan tanaman ini.
"Saya minta agensi yang terlibat khususnya Jabatan Pertanian, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan ketua-ketua masyarakat bergabung tenaga ke arah menjayakan projek ini pada skala yang lebih besar," katanya.


Menurutnya, kerajaan negeri juga mengalu-alukan pihak swasta untuk melabur di Terengganu kerana kemajuan sesebuah negeri amat bergantung kepada pelaburan luar  selain menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Tag: