• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Bakal Terima 590,000 Dos Vaksin Bulan Ini

KUALA TERENGGANU, 13 Ogos - Sebanyak 590,000 lagi dos vaksin akan dihantar ke Terengganu pada bulan ini untuk meningkatkan peratusan penerima vaksin negeri berkenaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin dengan tambahan dos itu lebih ramai penduduk akan divaksin dengan kadar segera.

"Dalam perbincangan tadi mohon kita tingkatkan bekalan vaksin. Menteri Besar juga menyokong kuat cadangan tersebut.

"Jadi untuk rekod kita akan bekalkan 590,000 dos lagi bulan ini. Seterusnya bulan berikut kita akan sampaikan. Jangkaannya dalam bulan Oktober hampir 80 peratus akan diberikan vaksinasi.

"Dan ini pencapaian yang tidak jauh daripada peratusan pencapaian nasional. Yang penting sekarang ini dipastikan siapa belum lagi mendaftar untuk mendaftar segera," katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Taman Tamadun Islam (TTI), semalam.

Muhyiddin tiba di sini, jam 4.18 petang semalam bagi memulakan lawatan kerja di Terengganu.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Dalam pada itu, tambahnya, kerajaan akan mengkaji latar belakang golongan yang menolak vaksin dan kaedah tindakan yang akan diambil kepada golongan berkenaan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok (herd immunity) seawalnya.

Untuk tujuan itu, kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 secara mandatori kepada seluruh rakyat Malaysia menjelang Oktober ini.


Tag: