KUALA TERENGGANU, 10 November – Terengganu mengorak langkah besar dalam membangunkan industri mineral strategik negara melalui perancangan menubuhkan sebuah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE), yang akan menjadi pusat rujukan teknologi, penyelidikan dan analisis mineral masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, berkata inisiatif itu menjadi pemacu utama untuk membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri NR-REE di negeri ini.
“Pusat tersebut akan menjadi platform penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan mineral strategik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai peneraju dalam sektor tersebut di peringkat negeri dan nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau lagi, bagi fasa jangka sederhana, Kerajaan Negeri melalui MBI Modal Sdn. Bhd. (MBIM) sedang menjalankan kajian awal di kawasan berpotensi mengandungi batuan granit seluruh Terengganu.
Jelasnya, langkah ini bagi mengenal pasti kawasan alternatif untuk eksplorasi NR-REE memandangkan sebahagian kawasan sebelum ini berada dalam Hutan Simpan Kekal.
Beliau turut memaklumkan bahawa MBIM kini dalam proses mendapatkan kelulusan lesen memfosik daripada Pejabat Tanah dan Galian untuk memulakan aktiviti sektor huluan (upstream).
“Dalam masa yang sama, MBIM juga sedang menyelesaikan rundingan bagi memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lynas Malaysia Sdn. Bhd. sebagai sebahagian usaha membangunkan sektor pemprosesan (midstream) mineral tersebut,” jelas beliau.
Selain itu ujarnya, MBIM turut mengadakan siri perbincangan dengan kementerian serta agensi kerajaan Persekutuan seperti NRES, MITI dan MIDA.
“Langkah ini bertujuan meneroka peluang pelaburan, teknologi dan kerjasama teknikal bagi memastikan pembangunan industri NR-REE di Terengganu berjalan secara terancang, mampan dan berimpak tinggi kepada ekonomi negeri,” jelasnya.