• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Bantu Suarakan Nasib Marawi

Dari kanan, Wan Sukairi, Hussin dan Misbahul Munir.
KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Kerajaan Terengganu bersetuju menyediakan ruang dan fasiliti bagi menjayakan International Conference on Marawi yang akan berlangsung pada 19 sehingga 21 Julai ini di Duyong Marina & Resort.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri melihat keperluan untuk mengangkat isu Marawi yang musnah gara-gara perperangan pada tahun 2017 memandangkan 99 peratus penduduknya merupakan masyarakat Muslim.

“Kerajaan negeri bersetuju bekerjasama dengan pihak Yayasan Amal Malaysia (YAM) dengan menyediakan tempat untuk NGO mencari solusi bagi memberi sinar atas tragedi yang menimpa saudara-saudara kita di Marawi.

“Ini kerana ia merupakan isu yang berkait tentang umat Islam dan kemanusiaan. Kita tidak masuk campur dalam isu berkaitan politik di sana, kita hanya sentuh isu kebajikan dan umat Islam,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media sempena program tersebut di Kediaman Seri Iman, semalam.

Turut serta, Pengarah Pusat Dakwah Serantau YAM, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Sementara itu, Wan Sukairi yang juga salah seorang pengerusi bersama jawatankuasa penganjur di samping Dr. Safrullah M. Dipatuan dan Presiden YAM, Hussin Ismail melihat langkah itu sebagai usaha mengetengahkan isu Marawi.

“Kita mahu masyarakat Terengganu, dalam negara dan dunia tahu serta mengambil langkah membantu mereka sebagaimana isu Palestin, Syria dan negara-negara lain.

"Seperti kita menangani isu lain dengan serius, maka isu ini tidak boleh dikesampingkan dan perlu diberi penekanan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Hussin memaklumkan, persidangan itu diadakan bagi mengangkat isu kebajikan rakyat Marawi di samping menarik sokongan antarabangsa untuk membantu.

“Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama daripada Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan International Federation For Relief & Development (IFRD) untuk menjayakan persidangan ini.

“Lapan kertas kerja akan dibentangkan, antaranya daripada  mantan Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Penasihat YAM, Tan Sri Khalid Ibrahim dan daripada United Nation-Geneva (UN),” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri atas kesudian memberikan ruang dalam memperjuangkan nasib rakyat Marawi.

Untuk rekod, tragedi Marawi yang berlaku pada tahun 2017 telah menyebabkan 200,000 penduduknya diarah keluar sehelai sepinggang dan tidak dibenarkan pulang.

Ia berlarutan sehingga hari ini menyebabkan wilayah itu lumpuh sepenuhnya serta para penduduk kehilangan tempat tinggal, harta benda dan berdepan situasi genting sehingga kini.

YAM mengambil langkah untuk mengetengahkan isu ini sebagaimana mereka mengetengahkan isu Rohingya sebelum ia mendapat perhatian antarabangsa.


Tag: