• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Tambah Bekalan 100 Juta Liter Air Sebelum Raya Ini

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Jangkaan saluran bekalan air bersih pada minggu ini melalui sebuah lagi loji baharu benar-benar berlaku apabila air telah mula dilepaskan dari Loji Air Pulau Bahagia, Manir di sini hari ini.

Pelepasan bekalan air tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, pagi tadi.

Dr Mamad Puteh.

Menurut Dr Mamad, pihaknya bersama Syarikat Air Terengganu (SATU) menjangkakan akan membekalkan sebanyak 100 juta liter air sehari (MLD) untuk kegunaan 100,000 penduduk sebelum raya ini sebagai tambahan.

“Hari ini kita melawat Loji Air Pulau Bahagia yang merupakan salah satu antara tiga loji baharu, dua lagi loji iaitu Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) masih sedang dalam pembinaan.

“Di Pulau Bahagia kapasitinya 20 MLD untuk bekalan air di Mukim Manir dan sekitar Telemong. Kemudian di Bukit Berapit yang mana dalam pelaksanaan oleh pihak KAJV, insya-Allah akan siap sebelum raya nanti.

“Ini bermakna ada kira-kira satu bulan setengah hingga dua bulan tempoh untuk menyiapkan dua lagi loji baharu untuk mengatasi masalah air di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Untuk loji di Bukit Berapit kapasitinya agak besar iaitu 120 MLD.

“Tetapi kita cuba siapkan secepat mungkin sebelum raya nanti sebanyak 60 MLD dahulu untuk kegunaan orang ramai. Satu lagi di Losong dengan kapasiti 40 MLD, tetapi untuk sebelum raya ini kita cuba siapkan sebanyak 20 MLD iaitu separuh.

“Jadi keseluruhan sebelum raya ini, kita akan cuba siapkan 100 MLD sebagai tambahan untuk keperluan penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam tinjauannya ke Loji Air Pulau Bahagia di sini hari ini. 

Hadir sama dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong.

Dalam perkembangan sama, jelasnya, Loji Air Pulau Bahagia yang dilancarkan hari ini akan dapat mengatasi sebahagian masalah air di Kuala Terengganu kerana kapasiti yang ada adalah sebanyak 20 MLD.

“20 MLD ini, bekalannya sebelum ini menggunakan sistem air di Loji Air Kepong 1 dan 2. Jadi dengan siapnya loji air ini akan mengurangkan penggunaan air di Loji Kepong 1 dan 2,” ujarnya.

Tambah beliau, banyak proses perlu dilakukan sebelum loji mula beroperasi termasuklah memastikan air yang dipam di muka sauk adalah air yang bersih, tidak ada raksa dan arsenik serta bebas dari kuman yang berbahaya dan berisiko kepada kesihatan pengguna.

Ketiga-tiga loji berkenaan berupaya menambah bekalan sebanyak 184 MLD berbanding hanya 282 MLD yang mampu dibekalkan oleh loji air sedia ada iaitu Loji Air Losong, Loji Air Kepong 1 dan Kepong 2 ketika ini.