• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Benar Aktiviti Agama, Kemasyarakatan Di Masjid, Surau Bermula Esok

KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memberi perkenan untuk membenarkan semua aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dilakukan di masjid serta surau di negeri berkenaan bermula esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato' Osman Muda walau bagaimanapun berkata, kebenaran perluasan aktiviti-aktiviti tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Kebenaran menyampaikan kuliah atau pengajaran agama kepada semua pemegang tauliah yang dilantik MAIDAM turut diberikan.

"Jawatankuasa masjid dan surau dikehendaki membuat pemantauan supaya SOP dipatuhi oleh semua yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Menurut beliau, sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan tertakluk kepada arahan pihak berkuasa.

"Sultan Mizan Zainal Abidin juga menyeru kepada rakyat jelata supaya tidak mengambil ringan akan arahan pihak berkuasa dalam mendepani wabak COVID-19," tambah Osman.

 


Tag: