• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Benar Ibadat Korban, Solat Aidiladha Di Masjid, Surau

KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Kerajaan Terengganu membenarkan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau negeri ini tetapi hanya membabitkan melibatkan jemaah lelaki dan pemastautin sahaja.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, bilangan jemaah dibenarkan pula hanya seramai 40 orang selain jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, kebenaran mengadakan ibadah dalam tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Baginda juga menyeru semua pihak termasuk rakyat jelata memberi kerjasama dan komitmen dengan sebaik mungkin dalam mematuhi setiap SOP dan arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Osman berkata, kerajaan negeri turut membenarkan ibadah korban dilakukan sama ada di perkarangan masjid atau surau, kawasan lapang seperti padang, Rumah Penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) dan Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta berlesen dengan kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Jumlah haiwan korban dihadkan kepada lima ekor haiwan sehari di sesuatu kawasan kecuali di rumah penyembelihan yang dibenarkan.

"Jumlah petugas hendaklah tidak melebihi 10 orang dan hendaklah berada dalam keadaan sihat," jelasnya.

 


Tag: