• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Benarkan Solat Aidilfitri Terhad 40 Jemaah

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu membenarkan solat sunat Hari Raya Aidilfitri di masjid dan surau negeri ini terhad kepada 40 jemaah lelaki tidak termasuk Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, tetapi ia hanya membabitkan melibatkan jemaah lelaki dan pemastautin sahaja selain perlu jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, solat jumaat juga turut dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah tidak termasuk jawatankuasa masjid dan surau setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mengadakan ibadah itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

"Solat sunat Aidilfiti di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan kehadiran jemaah lelaki sahaja seramai 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa masjid dan surau.

"Manakala Solat fardu lima  waktu di masjid dan surau juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 20 orang," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Osman lagi, kehadiran ahli jemaah ke masjid dan surau dibenarkan bagi kalangan ahli qaryah yang bermastautin sahaja kecuali mana-mana orang yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan ziarah tanah perkuburan ketika sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Jelas Osman, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan yang lain juga tidak dibenarkan diadakan di semua masjid dan surau sepanjang tempoh PKP.

Beliau juga berkata,  mana- mana masjid atau surau yang dikenakan arahan penutupan di bawah Seksyen 18 (1) (d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
(Akta 342) tidak dibenarkan melaksanakan apa-apa aktiviti sepanjang tempoh penutupan.

Sementara itu, Sultan Mizan dalam pada masa yang sama menzahirkan rasa dukacita dan memahami akan kesulitan dan kesusahan yang perlu dihadapi oleh rakyat jelata lebih-lebih lagi dalam suasana Hari Raya Aidilfitri yang tidak berapa hari lagi akan disambut oleh umat Islam.

Baginda juga mengharapkan semoga semua rakyat jelata bersabar dengan situasi yang perlu dihadapi dan berdoa semoga dilindungi dari wabak tersebut.


Tag: