• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Benarkan Solat Di Masjid Ikut Kapasiti

KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) berkenan mengumumkan bahawa solat fardu berjemaah dan solat Jumaat di rumah ibadah di negeri berkenaan dibenarkan mengikut kapasiti keluasan masjid dan surau.

Memahami keperluan dan hasrat umat Islam untuk mengerjakan ibadah tersebut, MAIDAM setelah mengambil kira pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, kapasiti jemaah dibenarkan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kesihatan dan Keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menurut Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, turut digariskan beberapa SOP iaitu pemasangan penghawa dingin tidak dibenarkan sepanjang ibadah solat sedang berjalan.

Manakala, para jemaah yang hadir pula diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka sepanjang berada di masjid.

"Selain itu, jawatankuasa masjid juga bertanggungjawab melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitar termasuk tandas sebanyak tiga kali seminggu.

"Sekiranya SOP tidak dipatuhi, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu berhak mengambil tindakan dengan menutup masjid dan surau berkenaan," jelasnya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, dalam kenyataan tersebut turut menyatakan, sebarang kuliah harian, aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di masjid masih tidak dibenarkan.

 

 

 


Tag: