• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Bentang Belanjawan 2022 RM1.65 bilion

KUALA TERENGGANU, 15 November - Terengganu membentangkan Belanjawan 2022 sebanyak RM1.65 bilion dengan jangkaan defisit 10 peratus.

Bajet bertemakan ‘Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua’ itu dibentangkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang ke-14.

Jelas Ahmad Samsuri, kerajaan negeri akan membelanjakan sejumlah RM1.65 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, RM600 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM40 juta untuk Perbelanjaan Bekalan Air.

“Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM92.99 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.56 bilion bagi Perbelanjaan Bekalan iaitu sebanyak RM264.84 juta untuk Emolumen, RM244.47 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM22.14 juta untuk Aset, RM1.032 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap danRM1 juta untuk Lain-lain.

“Manakala komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM400 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM230 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan Pelbagai Agensi; RM664.71 juta bagi pemberian kepada Jabatan-jabatan Kerajaan dan RM270 juta bagi program-program Pelbagai Perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan.

”Di bawah Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM436.92 juta (72.8 peratus)  diperuntukkan untuk Sektor Sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan; RM137.28 juta (22.88 peratus) pula untuk Sektor Pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka; dan RM25.8 juta (4.30 peratus) untuk Sektor Ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kali Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman Hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, bagi hasil pula, kerajaan negeri menganggarkan sejumlah RM1.507 bilion iaitu sebanyak RM61.02 juta daripada Hasil Cukai, RM157.49 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.28 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Royalti Petroleum.


Tag: