• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Beri Anugerah Khas Pelajar Ketujuh Terbaik Dunia

KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Dengan hanya berbekal telefon mudah alih bagi mengikuti pembelajaran atas talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kejayaan Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, mendapat tempat pertama di kalangan pelajar Malaysia dan ketujuh peringkat antarabangsa dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) merupakan sesuatu yang amat luar biasa. 

Fatin Nabihah telah menerima penganugerahan daripada ACCA apabila berjaya mendapat markah tertinggi iaitu 88 bagi memperoleh kedudukan pertama di Malaysia dan ketujuh dunia untuk kertas Strategic Business Report (SBR) selain turut berjaya lulus di dalam satu lagi kertas yang diambilnya iaitu Advanced Taxation (ATX).

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan, pencapaian yang diperoleh tersebut sangat membanggakan semua pihak terutamanya kerajaan negeri serta turut menyifatkan ia jarang diperolehi anak Melayu khususnya anak Terengganu.

“Tahniah saya ucapkan kepada Fatin Nabihah yang berusaha keras untuk mendapat kejayaan seumpama ini. Sudah tentu semua pihak merasa sangat bangga dengan kemampuan beliau mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia.

“Apa jua cara yang kerajaan negeri boleh bantu, kita akan usahakan sebaik mungkin untuk masa hadapannya. Kita akan berusaha memberi galakan daripada sudut kewangan, memberi panduan dalam dunia pekerjaan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Pelajar Terbaik Dalam Subjek SBR Peperiksaan Mac 2021 Peringkat Kebangsaan Dan Antarabangsa di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, ibu Fatin Nabihah, Noriah Ahmad, 46, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Atas pencapaian tersebut, kerajaan negeri memberikan penghargaan berupa wang tunai sebanyak RM3,000 dan sijil penghargaan kepada Fatin Nabihah dalam majlis kali ini.

Beliau masih perlu menduduki dua lagi kertas di peringkat Strategic Professional sebelum dijangka menamatkan pengajian ACCA pada bulan September nanti.

Sementara itu, menurut Fatin Nabihah, beliau sama sekali tidak menyangka mendapat tempat dalam ranking tertinggi SBR serta penghargaan dan pengiktirafan sebegitu besar daripada semua pihak.

“Saya sangat terkejut sewaktu terima keputusan, saya cuma doa untuk lulus peperiksaan dan tak pernah target setinggi itu. Alhamdulillah sangat bersyukur dengan kejayaan yang Allah kurniakan, lebih dari apa yang saya perlukan.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat. Atas pengharapan semua orang, saya akan berusaha memberi balik kepada masyarakat insya-Allah,” jelasnya.

Pelajar  INTEC Education College (INTEC) di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan tersebut baru-baru ini.

Anak sulung daripada empat beradik itu dibesarkan oleh ibunya dan ayah tiri, Mustape Che W Abdullah, 68, sebaik kematian ayah kandung ketika berumur 11 tahun akibat sakit jantung.

“Berkat doa dan dorongan ibu supaya terus berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan, akhirnya saya diumumkan pelajar terbaik Malaysia bagi peperiksaan SBR," katanya yang ketika ini menerima tajaan Yayasan Sime Darby.

Fatin Nabihah turut berkongsi petua untuk mudah faham, sentiasa tenang dan ingat apa yang dipelajari, antaranya memulakan ulangkaji pelajaran seawal 4.00 pagi hingga 6.00 pagi.

“Sebelum ulangkaji buat solat sunat dan baca al-Quran, lepas itu amalkan sedekah waktu subuh dan seterusnya solat Dhuha,” katanya.