• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Berjaya Keluar Daripada Trend Membimbangkan

KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Kerajaan Terengganu berjaya mengeluarkan negeri itu daripada trend pengangguran membimbangkan selepas melaksanakan beberapa langkah proaktif sejak pertukaran pentadbiran.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kadar pengangguran di Terengganu pada 2012 hingga 2018 menunjukkan trend menaik iaitu daripada 2.9 peratus kepada 3.4 peratus (2013), 4.1 peratus (2014), 4.0 peratus (2015), 4.2 peratus (2016), 4.5 peratus (2017) dan 4.8 peratus (2018). 

Jelasnya, jumlah penganggur bertambah dengan ketara daripada 14.4 ribu kepada 22.5 ribu dalam tempoh enam tahun tersebut. 

"Melihat kepada trend yang membimbangkan inilah, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu PAS Terengganu mengemukakan tawaran untuk menyediakan sebanyak 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh sepenggal pemerintahan.

"Kerajaan melihat bidang sumber manusia ini memerlukan satu agensi khusus bagi menangani masalah pengangguran dan pencarian kerja kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) diwujudkan rentetan daripada permasalahan tiada data khusus boleh diguna pakai pihak kerajaan negeri bagi menangani isu tersebut.

"Alhamdulillah, setelah lebih 18 bulan mengambil alih kerajaan, dengan wujudnya THRDC dan sokongan serta kerjasama daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 3.5 peratus pada 2019 iaitu menghampiri kadar nasional 3.3 peratus," katanya.

Dalam masa yang sama ujarnya, dengan pelaporan lebih terperinci dan bersasar itu kerajaan dapat meneliti fenomena pengangguran mengikut daerah dan bidang yang diperlukan dalam pasaran kerja. 

"Kerajaan juga dapat memahami kedudukan permintaan dan tawaran tenaga kerja (Demand and Supply of Labour) dalam negeri Terengganu, seterusnya memahami jurang (gap) yang wujud," ujarnya. 

Katanya lagi, daripada kefahaman itu, kerajaan negeri boleh menggariskan beberapa strategi jangka pendek dan panjang untuk menangani masalah pengangguran ini. 

"Walaupun pasaran buruh merosot teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, kadar pengangguran di negeri ini masih terkawal pada kadar 4.1 peratus pada 2020 dan antara 3.7 peratus hingga 4.4 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021. 

"Kadar ini adalah lebih baik daripada yang direkodkan di peringkat nasional iaitu 4.6 peratus pada 2020 dan antara 4.7 peratus hingga 4.8 peratus pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2021," jelas beliau.

Tambahnya, statistik kehilangan pekerjaan di Terengganu bagi tempoh Mac 2020 hingga September 2021 juga berada di kedudukan keempat terendah iaitu seramai 1,547 orang daripada keseluruhan 136,374 orang bagi negeri di Semenanjung Malaysia.


Tag: