KUALA TERENGGANU, 12 November – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa pengurusan dan hasil sumber mineral nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) adalah hak negeri sepenuhnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata perkara itu turut dipersetujui Majlis Menteri Besar SG4 (Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis) dalam kenyataan pada 30 Oktober lalu yang menuntut pengurusan hasil sumber mineral negeri dilaksanakan secara adil dan telus.
“Saya kira jelas pendirian tegas pihak kerajaan agar segala sumber mineral nadir bumi yang terdapat di dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri sebagaimana termaktub di bawah Jadual Kesembilan (9), Perlembagaan Persekutuan.
“Kita ambil pendirian tegas ini setelah mengambil kira pengalaman lama berkaitan isu royalti petroleum supaya tidak berulang,” tegasnya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Ketiga DUN Terengganu ke-15 hari ini.
Sementara itu, Terengganu turut bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rantaian nilai penuh industri REE daripada penerokaan, pemprosesan hingga penghasilan produk berasaskan mineral itu asalkan hak negeri dihormati serta manfaat ekonomi turut dinikmati rakyat setempat.
Katanya, Pelan Strategik NR-REE Negeri Terengganu telah pun siap dan menjadi antara yang terawal di negara ini.
Jelas beliau, ia menggariskan lima objektif utama termasuk pengurusan lestari berasaskan prinsip ESG, pembangunan tenaga kerja tempatan serta penyertaan pelaburan tempatan dan swasta.
“Pelan ini antaranya menetapkan pembangunan industri NRREE tempatan yang berdaya saing, mampan dan meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran, enjanaan pertumbuhan ekonomi baharu untuk negeri dengan sektor NR-REE ini sebagai pemangkin pertumbuhan sektor hiliran berteknologi tinggi.
“Pengurusan sumber NR-REE negeri yang bertanggungjawab, lestari serta mematuhi amalan ESG (Environmental, Social, Governance), peningkatan kemahiran dan penyertaan tenaga kerja tempatan dan dan penetapan penyertaan perniagaan tempatan serta pelaburan swasta termasuk meneroka pembinaan kilang pemprosesan di negeri ini,” ujar beliau.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri telah meneroka mekanisme kawalan seperti Klausa Kawalan Penggunaan Akhir (End-Use Control) bagi memastikan sumber REE negeri tidak digunakan untuk tujuan yang bercanggah dengan dasar negara.
“Kita mahu pastikan mineral ini tidak disalahguna untuk pembuatan senjata atau sistem pertahanan asing,” katanya.
Selain isu NR-REE, beliau turut memaklumkan kejayaan negeri menarik pelaburan besar dalam sektor tenaga boleh baharu, termasuk Projek Terminal Regasifikasi LNG di Teluk Kalong, Kemaman oleh E&H Energy Sdn. Bhd serta Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) di Tasik Kenyir bernilai RM2.9 bilion, hasil kerjasama antara TNB Genco dan Terengganu Inc.