• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Berusaha Kawal Kes Penceraian

KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan Terengganu sedang melaksanakan penyelesaian terbaik bagi menggelakkan kes penceraian pasangan suami isteri terus berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata antara usaha dilakukan adalah dengan mengadakan kursus pra perkahwinan dengan modul yang berkualiti dan bersesuaian dengan situasi semasa.

"Pasca perkahwinan pula kerajaan negeri melakukan banyak program membabitkan tiga fasa bagi mengeratkan hubungan suami isteri di samping membina keluarga harmoni, fasa pasangan sehati sejiwa ini disediakan bagi mereka yang sudah berkahwin antara enam hingga 10 tahun diikuti semarak kasih (11 hingga 20 tahun) dan syurga cinta (21 tahun ke atas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan rekod Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) antara penyumbang kepada berlakunya penceraian ialah sikap tidak bertanggungjawab sama ada pihak suami atau isteri di samping lemah didikan agama.

"Kedua-dua punca ini menyumbang kepada 685 kes penceraian daripada 1,290 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.

"Berdasarkan rekod berkenaan antara masalah yang mengundang kepada terjadinya perpisahan merangkumi masalah komunikasi sebanyak 187 kes, campur tangan pihak ketiga 174 kes, akhlak atau sosial 115 kes, ekonomi 83 kes, kesihatan 24 kes, seksual pula sebanyak 14 kes, manakala budaya dan kerja pula masing-masing merekodkan empat kes," tambah beliau.


Tag: