• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Bina 160 Rumah Pangsa Mampu Milik Bantu B40 - MB

Ahmad Samsuri merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek RPMM Tok Jembal.
KUALA NERUS, 24 Julai - Sebanyak 160 buah Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal yang bernilai RM26 juta menjadi projek terbaharu Kerajaan Terengganu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) memiliki rumah pertama.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu golongan berpendapatan isi rumah RM3,500 sebulan dan ke bawah untuk tinggal di rumah selesa dan mempunyai fasiliti yang mencukupi.

Jelasnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Bahagian Perumahan dipertanggungjawabkan sebagai agensi pemantau untuk projek rumah berharga RM68,000 yang dijangka siap Jun 2021.

“Pembinaan RPMM di atas tanah milik kerajaan yang berkeluasan 4.205 ekar itu melibatkan 160 unit rumah merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Kerajaan tidak hanya menyediakan tempat tinggal semata-mata, malah menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tempat letak kereta, dewan serbaguna, surau, tadika, gerai, taman permainan dan kawasan rekreasi untuk kemudahan dan keselesaan para penduduk,” ujarnya.

RPMM dibina di atas tanah kerajaan dijangka memberi manfaat kepada 160 keluarga.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah RPMM Tok Jembal, Seberang Takir, di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Bentara Dalam A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Tengku Bijaya Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.

Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri sentiasa meneliti keluhan rakyat di seluruh daerah yang masih belum memiliki kediaman dan perkara itu sedang diambil perjalanan oleh wakil rakyat masing-masing.

“Kita sedar rumah dan tanah merupakan dua isu yang sangat mendesak kepada rakyat dan antara keluhan yang dialami sejak puluhan tahun lalu.

“Permintaan untuk rumah tinggi tetapi kita mengalami kesukaran mencari kawasan yang bersesuaian terutama di kawasan padat penduduk seperti di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Justeru pencarian bagi menentukan tanah bersesuaian menyebabkan proses itu memakan sedikit masa,” tambah beliau.

Penerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bersama Jadual 5A yang mereka peroleh sekali gus menjadi bukti komitmen Terengganu untuk menunaikan janji.
Untuk rekod, projek RPMM itu merupakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) kedua selepas RMM Kampung Tajin yang dirasmikan awal bulan lalu.

Kerajaan menyasarkan untuk membina lebih 20,000 unit RMM untuk seluruh rakyat negeri Terengganu dengan membabitkan empat lokasi terpilih..






Tag: