• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Bina Pusat Tafaqquh Tok Syeikh Duyong

KUALA TERENGGANU, 12 Jun- Pembinaan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong bernilai RM7 juta di Taman Tamadun Islam bakal memartabatkan ilmu turath dalam usaha melahirkan lebih ramai ilmuan dan ulama di Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penubuhan kampung ilmu itu juga adalah manifestasi kerajaan negeri bagi memperkasakan dan mengembangkan bidang pengajian Islam di negeri ini sama ada dalam pengajian secara moden atau tradisional.

"Terengganu mempunyai susur galur ulama yang berperanan bukan saja di peringkat negeri Terengganu, bahkan di peringkat antarabangsa. Peranan mereka dalam masyarakat begitu banyak sejak sebelum kita merdeka lagi.

"Oleh itu, kerajaan negeri memikirkan inilah masanya untuk kita mengangkat kembali nama-nama besar seperti Tok Syeikh Duyong umpamanya sepertimana hari ini, kita buat seminar mengenai peranan mereka dalam negeri Terengganu.

"Ini salah satu cara yang kita laksanakan untuk mengembangkannya ke dalam masyarakat kita. Jika tidak anak-anak kita yang ada, generasi sekarang ini mereka akan lebih mengenali penyanyi-penyanyi moden, penyanyi daripada barat, Jepun tetapi tidak mengenali ulama-ulama tersohor ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Ulama Terengganu : Sumbangan Tok Syeikh Duyong kepada Negeri Terengganu dan Majlis Pecah Tanah Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Ahmad Samsuri berkata, fasa pertama iaitu pembinaan yang bermula hari ini dijangka siap dalam tempoh kira-kira setahun enam bulan.

Beliau berkata, pembinaan kampung ilmu itu akan dilaksanakan secara berperingkat membabitkan tiga fasa melibatkan kawasan seluas 19 ekar.

Pusat pengajian itu juga bakal memuatkan bangunan kediaman dan pengajian bagi 100 pelajar selain bangunan komersial seperti chalet, restoran serta kompleks warga emas.

 


Tag: