• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Bina Tapak Ekspo Pertanian Negeri

Petugas MAHA 2018 merakamkan kenangan bersama hadiah kemenangan Pavilion Terengganu.
Oleh: Nurul Fatimah Az-zahra Zainudin

KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Kerajaan Terengganu bakal membina lapangan ekspo pertanian seiras tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memaklumkan, kerajaan negeri akan  memanfaatkan Kompleks Pertanian Negeri di Ajil yang memiliki keluasan lebih 70 hektar untuk tujuan tersebut.

"Kita akan membina pavilion milik jabatan-jabatan berkaitan yang mempamerkan pelbagai produk pertanian dan industri  asas tani.

"Sebelum ini, program 'Road to MAHA' julung kali dianjurkan negeri Terengganu pada Oktober lalu di perkarangan Pejabat MARDI Kuala Terengganu sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018.

"Tapak baharu ini bakal dijadikan tapak tetap 'Road to MAHA' yang diadakan secara dwi tahunan," katanya.

Dr. Azman Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu meraikan petugas Pavilion Terengganu dalam Majlis Meraikan Petugas MAHA 2018 di Wisma Peladang Terengganu, hari ini.

Lebih 200 petugas hadir terdiri daripada kakitangan Jabatan Pertanian Negeri, MARDI, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri.





Tag: